Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia mengucapkan selamat menyambut Hari Pekerja bagi tahun 2024 kepada semua pekerja OKU penglihatan di seluruh Malaysia. Semoga anda terus berkhidmat dan berbakti dengan cemerlang kepada majikan, organisasi, masyarakat dan negara.
Sesungguhnya, OKU penglihatan turut terlibat dalam memainkan peranan penting dalam pembangunan negara, khususnya di sektor ekonomi. Hari ini, terdapat sejumlah pekerja OKU penglihatan yang bekerja di sektor swasta dan awam. Mereka memegang jawatan dari peringkat kakitangan sokongan sehingga ke pegawai kanan dan profesional seperti pegawai khidmat pelanggan, pembantu tadbir, guru, kaunselor, peguam dan pensyarah.
Mereka ini telah mempersembahkan prestasi yang cemerlang. Oleh itu, SBM ingin menggesa agar lebih banyak majikan tampil, dan menyahut cabaran untuk terus menggajikan pekerja OKU penglihatan. OKU penglihatan kini mampu untuk melaksanakan tugas yang diberikan dengan efektif dan berkesan kerana generasi OKU penglihatan pada hari ini telah menguasai kemahiran ICT dan berkebolehan untuk mengendalikan komputer bagi melaksanakan tugasan kerja di pejabat.
Untuk makluman, majikan yang menyediakan peluang pekerjaan kepada pekerja orang kurang Upaya (OKU), layak diberi pelepasan cukai pendapatan dari Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) sebanyak dua kali ganda. Mana-mana majikan yang berminat untuk mengambil OKU penglihatan bekerja boleh menghubungi SBM di talian 03-2274 6162 atau mana-mana persatuan OKU penglihatan yang lain.
Akhirnya, SBM merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada mana-mana majikan dan organisani yang telah menggaji OKU penglihatan. Terima kasih kerana memberikan peluang kepada insan Istimewa. Selamat Hari Pekerja 2024.
Sekian, terima kasih.
‘MERAIKAN 60 TAHUN SBM: TERUS BERKHIDMAT’
HAJI MOHAMED NAZARI BIN HAJI OTHMAN
Presiden
Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia
Dan,
DR WONG HUEY SIEW
Pengerusi
Jawatankuasa Pekerjaan Dan Pembangunan Ekonomi
Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia