Monthly Archive 11/12/2020

Bysbmorgmy

NOTIS MESYUARAT AGUNG DWI TAHUNAN SBM 2020 (EDISI KE-13)

NOTIS MESYUARAT AGUNG DWI TAHUNAN SBM 2020 (EDISI KE-13)PERTUBUHAN ORANG CACAT PENGLIHATAN MALAYSIA (SBM)

Adalah dimaklumkan bahawa notis adalah diberi bahawa Mesyuarat Agung Dwi Tahunan SBM 2020 (Edisi Ke-13) akan diadakan seperti ketetapan berikut:-

Tarikh: 25 – 27 Disember 2020 (Jumaat hingga Ahad)
Tempat: The Crystal Crown Hotel
12, Lorong Utara A Off Jalan Utara
46200 Petaling Jaya
Selangor Darul Ehsan
Tel: 03-79584422

Bersama-sama ini disertakan Notis Mesyuratat yang sama untuk diedarkan kepada Ahli-ahli SBM di Cawangan/Kawasan masing-masing dan ‘Garis Panduan Bagi Menghadiri Mesyuarat’ berkenaan bertarikh 12 Ogos 2020, untuk rujukan dan tindakan tuan/puan sewajarnya.

Sehubungan dengan itu, tuan/puan adalah diminta hadir.

Sekian, terima kasih.

 

‘BERSATU MEMBAWA KEJAYAAN’
Yang benar
(ROSHAM BIN SIDEK)
Setiausaha Agung
Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia (SBM)

 

Bysbmorgmy

KENYATAAN AKHBAR SEMPENA SAMBUTAN HARI OKU 2020

 

Pada hari yang penuh bermakna ini yakni 3 Disember 2020 merupakan hari yang sememangnya diraikan oleh semua warga OKU di seluruh dunia. Barangkali, Sambutan Hari OKU peringkat Kebangsaan tahun 2020 ini mungkin tidak dapat diraikan seperti tahun-tahun terdahulu disebabkan dunia ketika ini sedang dilanda ancaman pandemik Covid-19.

 

Justeru itu, suasana ini telah menjadi satu cabaran besar kepada semua orang termasuk komuniti Orang Kurang Upaya. Disebabkan itu, ramai OKU yang turut terkesan pada mereka yang bekerja sendiri seperti Juru Urut akibat daripada penularan wabak ini. Mujurlah ramai di kalangan kami telah mendapat bantuan keperluan asas seperti makanan daripada kerajaan, swasta, orang ramai dan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan. Terima kasih diucapkan kepada mereka yang amat prihatin kepada nasib yang dihadapi oleh komuniti OKU di Negara ini.

 

Sempena Sambutan Hari OKU Antarabangsa dan Kebangsaan tahun ini, Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia atau Society of the Blind in Malaysia (SBM) ingin menyarankan kepada kerajaan agar sentiasa dan terus membela dan melindungi keselamatan serta hak kami. SBM ingin mengeshorkan bahawa semua OKU seharusnya diberikan vaksin Covid-19 dengan percuma apabila vaksin ini diterima daripada pembekal. Secara ikhlas, SBM ingin berkongsi bahawa majoriti besar OKU Penglihatan di Negara ini merupakan golongan B40. Ini termasuk ramai daripada mereka hidup di luar Bandar sama ada di Semenanjung, Sabah dan Sarawak tidak mempunyai pekerjaan dan pendapatan yang tetap.

 

SBM ingin merakamkan ribuan terima kasih kepada semua pihak seperti Wakil Rakyat, Sukarelawan, orang ramai, NGO, Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan yang telah sudi membantu komuniti OKU khususnya OKU Penglihatan untuk mengurangkan beban dan cabaran hidup yang sedang dihadapi ketika ini.

 

Kami juga berharap bahawa semua OKU yang mendaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat turut diberikan baucer RM100.00 sebagaimana yang diberikan kepada belia seperti yang diumumkan dalam Belanjawan 2021. Tidak ketinggalan juga SBM ingin menggesa supaya semua Kerajaan Negeri turut mengambil langkah-langkah yang proaktif bagi menyediakan dana atau peruntukan untuk kesejahteraan hidup komuniti OKU di Negeri masing-masing. Kami amat menaruh harapan besar agar YAB Menteri Besar atau Ketua Menteri sentiasa ingat dan prihatin kepada warga OKU di Negeri YAB masing-masing.

 

Selain itu, SBM juga ingin menggesa agar pihak swasta sentiasa komited untuk mengambil OKU Penglihatan bekerja. Terdapat ramai OKU Penglihatan yang terlatih dan graduan ingin mencari pekerjaan. Oleh itu, diharap semua bakal majikan menerima baik permohonan mereka dan memberi peluang kepada mereka untuk di temuduga dan menilai keupayaan dan kekuatan mereka bukan dari segi kecacatan mereka. SBM ingin menekankan bahawa ramai OKU Penglihatan sudah menguasai kemahiran ICT dan boleh menggunakan ‘smart phone’. Ini merupakan salah satu kelebihan untuk membantu mereka menjalankan kehidupan harian seperti orang lain.

 

Di samping itu, kami juga ingin menyeru kepada Bank Negara dan semua bank komersial untuk mengamalkan dasar perkhidmatan bank yang mesra OKU. Tidak dapat dinafikan bahawa sememangnya telah ada beberapa buah bank yang berusaha untuk memberikan perkhidmatan yang mesra OKU, namun dasar-dasar yang terdapat di bank yang sama dan cawangan lain termasuk cawangan di luar Lembah Klang adalah tidak seragam. Perkara sedemikian sentiasa menimbulkan kekeliruan dan kesulitan kepada OKU Penglihatan yang mengunjung ke cawangan tersebut. Misalnya, masih terdapat banyak cawangan yang tidak ingin OKU membuka akaun simpanan dan kad ATM.

 

Jika keadaan sedemikian berterusan, ia pasti menyukarkan OKU Penglihatan untuk menggunakan kemudahan internet banking atau e-payment. Selagi perkara kad ATM ini tidak dapat diselesaikan, ia sukar untuk mendaftar bagi penggunaan transaksi melalui internet banking. Kami berharap Bank Negara segera membantu menyelesaikan isu ini kerana isu tentang OKU Penglihatan akses kepada perkhidmatan banking ini telah lama berlarutan. Begitu juga saksi yang dijadikan syarat kepada OKU penglihatan apabila hendak memohon produk tertentu sepatutnya seorang sudah memadai bukannya dua orang (ahli keluarga). Perkara ini tidak munasabah kerana ramai OKU tinggal  berasingan daripada keluarga dan kampung mereka jauh. Apakah dasar sedemikian ini adalah mesra kepada OKU?

 

 

 

Akhir sekali, SBM ingin mengucapkan Selamat Hari OKU kepada semua warga OKU khususnya OKU Penglihatan yang jatuh pada tanggal 3 Disember 2020 nanti. Diharap nasib dan taraf hidup komuniti OKU sentiasa di bela dan terus maju ke hadapan. Terima kasih kepada semua yang prihatin dan komited kepada agenda pembangunan OKU di Negara tercinta iaitu Malaysia.

 

 

 

 

 

Yang benar,

 

MOHAMMED NAZARI BIN HJ. OTHMAN

Presiden

Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia

(Society of the Blind in Malaysia)

 

 

dan

 

 

DR WONG HUEY SIEW

Pengerusi

Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Komuniti

Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia

(Society of the Blind in Malaysia)