Monthly Archive 23/10/2025

BySociety of the Blind In Malaysia

Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara SBM & Maxim

🤝 Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara SBM & Maxim 🤝
Pada 22 Oktober 2025, Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia (SBM) dan AIST Malaysia Sdn. Bhd. (Maxim) telah menandatangani satu Memorandum Persefahaman (MoU) di Ibu Pejabat SBM, Brickfields, Kuala Lumpur.
Kehadiran pasukan Maxim telah disambut oleh Encik Muhammad Akmal, Eksekutif Perhubungan Awam SBM, sebelum berlangsungnya majlis menandatangani MoU yang menjadi simbol permulaan jalinan kerjasama strategik antara kedua-dua pihak dalam memperkasa komuniti OKU penglihatan melalui pelbagai inisiatif kebajikan dan sokongan mobiliti.
MoU tersebut telah ditandatangani oleh Encik Mohd Mustaza Bin Mohamad Zin, Presiden SBM dan Encik Mohd Hazwan Bin Musley, Pengarah Maxim.
Dalam majlis yang sama, Maxim turut menyerahkan sumbangan tunai sebanyak RM1,000 serta sumbangan foodbank kepada SBM sebagai tanda keprihatinan dan sokongan terhadap komuniti cacat penglihatan di Malaysia.
SBM merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada pihak Maxim atas komitmen serta kesungguhan mereka dalam menyokong usaha memperkasa kehidupan warga OKU penglihatan di negara ini.
BySociety of the Blind In Malaysia

Edaran Laporan Tinjauan Halangan Aksesibiliti Sempena Hari Tongkat Putih 2025

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,

Bersempena sambutan Hari Tongkat Putih 2025, Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia (SBM) melalui Jawatankuasa Utama Komunikasi, Advokasi & Hak Asasi telah melaksanakan satu Tinjauan Halangan Aksesibiliti dalam kalangan Ahli Biasa dan Ahli Seumur Hidup SBM di seluruh Malaysia.

Tinjauan yang dijalankan dari 2 hingga 28 September 2025 ini bertujuan mengenal pasti cabaran sebenar yang dihadapi oleh komuniti kurang upaya penglihatan berkaitan aksesibiliti di kawasan tempat tinggal, tempat kerja, dan sekitar bangunan Cawangan/Kawasan SBM.

Berdasarkan penyertaan seramai 357 ahli dari seluruh negara, dapatan menunjukkan masih wujud jurang yang ketara dalam penyediaan kemudahan awam yang mesra dan selamat untuk komuniti kita, terutamanya:

  • Lebih 88% peserta menyatakan laluan pejalan kaki di kawasan tempat tinggal mereka tiada laluan sesentuh (tactile pavement);
  • 76% peserta mendapati laluan pejalan kaki di kawasan mereka berbahaya untuk OKU penglihatan;
  • Hampir 53% sukar mendapatkan pengangkutan awam; dan
  • 66% peserta menyatakan tiada laluan selamat ke kedai atau kemudahan asas di kawasan bangunan SBM sendiri.

Laporan penuh ini juga menggariskan dua strategi utama untuk tindakan SBM:

  1. Penyelidikan berterusan — bagi mengumpul data kritikal berkaitan jurang aksesibiliti dan pembangunan terangkum di seluruh negara; dan
  2. Advokasi strategik — bagi menggesa agensi kerajaan serta pihak berkepentingan lain untuk melaksanakan dasar, perundangan, dan latihan yang selaras dengan prinsip reka bentuk sejagat dan aksesibiliti menyeluruh.

Untuk rujukan dan tindakan lanjut, laporan penuh boleh dimuat turun melalui pautan DISINI:

Sekiranya terdapat sebarang pertanyaan, sila hubungi, Muhamad Nadhir Abdul Nasir, Pengerusi, Jawatankuasa Utama Komunikasi, Advokasi & Hak Asasi Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia melalui email di anndh91@gmail.com  atau telefon +6017-7216512. Sekian, terima kasih atas perhatian dan kerjasama semua.

Bersama kita memperjuangkan aksesibiliti dan pembangunan terangkum untuk komuniti penglihatan di Malaysia, Aksesibiliti Sejagat Pemangkin Komuniti Mandiri dan Inklusif .

BySociety of the Blind In Malaysia

Aksesibiliti Sejagat Pemangkin Komuniti Mandiri dan Inklusif

🌍✨ Hari Tongkat Putih 2025 ✨🌍

Setiap tahun pada 15 Oktober, komuniti kurang upaya penglihatan di seluruh dunia menyambut Hari Tongkat Putih – simbol kebebasan, mobiliti dan hak untuk hidup berdikari.

📌 Pada tahun 2024, Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia (SBM) telah melaksanakan kempen media sosial bagi mendedahkan jurang aksesibiliti yang masih wujud dan dihadapi komuniti kurang upaya penglihatan di seluruh negara.

👉 Tahun 2025 kembali dengan lebih bersemangat!
Dengan tema:
🎯 “Aksesibiliti Sejagat Pemangkin Komuniti Mandiri dan Inklusif”

 

 

 

📍 Sepanjang bulan Oktober 2025, SBM akan turun padang di 12 lokasi seluruh negara!
Ahli-ahli SBM akan menyebarkan pamflet kesedaran kepada orang awam sebagai usaha berterusan untuk merapatkan jurang aksesibiliti dan memperkukuh pembangunan yang inklusif di Malaysia.

💪 Ayuh bersama kami!
Mari kita sama-sama menyokong agenda penting ini demi sebuah masyarakat yang lebih prihatin, inklusif dan sejahtera untuk semua.

🤝 Ingin bekerjasama dengan SBM di negeri anda?
Dapatkan maklumat lanjut mengenai cawangan SBM melalui 👉 www.sbm.org.my

#HariTongkatPutih2025
#AksesibilitiSejagat
#PembangunanTerangkum
#KomunitiInklusif