KENYATAAN AKHBAR DARIPADA
PERTUBUHAN ORANG CACAT PENGLIHATAN MALAYSIA (SBM)
Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia (SBM) merupakan sebuah pertubuhan peringkat kebangsaan yang mewakili lebih daripada 7,000 Ahli yang terdiri dari kalangan OKU Penglihatan. SBM ingin menarik perhatian berkenaan dengan pengumuman beberapa pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), YB Dr. Zaliha binti Mustafa mengenai penggantungan sementara dan semakan semula bagi premis pengusaha dan kedai urut termasuk urut tradisional dan refleksiologi.
Sesungguhnya, SBM menyambut baik kajian semula tentang peraturan operasi dan perkara tentang perlesenan agar ia tidak disalahgunakan oleh mana-mana pihak. SBM berharap sebelum sebarang keputusan muktamad dibuat, elok pihak kerajaan memanggil libat urus semua pemegang taruh termasuk wakil daripada OKU Penglihatan agar suara dan pandangan SBM turut diambil kira.
Untuk pengetahuan YB dan kesemua pihak berkuasa tempatan, urutan tradisional dan refleksiologi merupakan salah satu bidang pekerjaan yang diceburi oleh ramai Jururut OKU Penglihatan dan SBM berharap sebarang keputusan dibuat nanti tidak akan menjejaskan rezeki pencarian Jururut OKU Penglihatan. Ramai OKU Penglihatan bergantung kepada pekerjaan ini untuk melangsungkan hidup.
SBM amat menghargai jika pihak kerajaan terus menyokong OKU Penglihatan untuk terus mengangkat martabat urut dan refleksiologi jika ia dibuat dengan mematuhi etika dan peraturan sedia ada, ia memang tiada masalah dan tidak sepatutnya dipandang secara negatif dan andaian yang tidak wujud atau bias.
Sekian, terima kasih.
‘MERAIKAN SBM 60 TAHUN: TERUS BERKHIDMAT’
Yang benar,
WONG HUEY SIEW
Pengerusi Jawatankuasa Pekerjaan dan Pembangunan Ekonomi
Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia
dan
MOHAMMED NAZARI BIN HJ. OTHMAN
Presiden SBM
Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia
Tarikh: 2 Februari 2024