Malaysia bakal menyambut ulang tahun kemerdekaanya yang kali ke-63 tahun. YB Dato’ Saifuddin Abdullah, Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia hari ini memperkenalkan Logo dan Tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2020 yang bertemakan ‘Malaysia Prihatin’
Tema sambutan tahun ini adalah ‘Malaysia Prihatin’. ‘Malaysia’ membawa pengertian bahawa seluruh rakyat Malaysia berganding bahu memerangi pandemik COVID-19, sama ada penjawat awam, sektor swasta, sukarelawan mahupun orang perseorangan, manakala ‘Prihatin’ mewakili keprihatinan kerajaan dalam mengutamakan kesejahteraan dan kebajikan rakyat melalui inisiatif PRIHATIN yang merangkumi aspek ekonomi, kebajikan dan kelangsungan hidup rakyat Malaysia.
Sempena Bulan Kebangsaan tahun ini, empat aktiviti utama akan diadakan iaitu Sambutan Ulang Tahun ke-50 Rukun Negara yang akan bermula 9 Julai hingga 16 September 2020, Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang pada 28 Julai 2020 di Putrajaya, Sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos 2020 di Kuala Lumpur, dan Sambutan Hari Malaysia pada 16 September 2020 di Sibu, Sarawak.
Logo berbentuk hati dipilih dengan warna-warna bendera Jalur Gemilang melambangkan keprihatinan Kerajaan untuk rakyat Malaysia yang berbilang kaum.

MAKSUD LOGO
Logo berbentuk hati;
Melambangkan Keprihatinan Kerajaan Malaysia terhadap masyarakat berbilang kaum.
Warna biru tua ;
Kesatuan hati rakyat Malaysia yang berbilang kaum hidup dalam keadaan aman dan harmoni.
Bulan Sabit;
Islam adalah agama bagi persekutuan.
Bintang Pecah 14;
Perpaduan 13 buah begeri dan kerajaan Persekutuan.
7 Jalur Merah Putih berbentuk hati;
Terjalinnya keberanian dan ketersediaan dalam menghadapi segala rintangan dengan keikhlasan dan kesungguhan.
Stigma Bunga Raya;
Membawa negara menuju ke mercu kejayaan.
5 titik merah;
Sebagai simbolik kepada 5 kelopak bunga raya yang menggambarkan 5 prinsip Rukun Negara yang menjadi kunci perpaduan yang berbilang bangsa.
Justeru itu, SBM mengucapkan selamat hari kemerdekaan yang ke-63. Semoga negara kita yang tercinta Malaysia, sentiasa dikurniakan keharmonian dan kesejahteraan selalu. Sekian terima kasih.