Yearly Archive 04/05/2026

BANTUAN ANDA MAMPU MENGUBAH KEHIDUPAN

✨ BANTUAN ANDA MAMPU MENGUBAH KEHIDUPAN ✨
Bayangkan hidup dalam kegelapan…
Namun masih kuat melangkah, berjuang, dan menyumbang kepada masyarakat.
Inilah realiti yang dihadapi oleh komuniti OKU penglihatan di Malaysia. ❤️
Sempena Mesyuarat Agung Dwi Tahunan SBM 2026, kami mengajak anda semua untuk bersama-sama menyokong usaha:
👉 memperkasakan golongan cacat penglihatan
👉 menyediakan bantuan & sokongan berterusan
👉 membuka lebih banyak peluang kehidupan
💬 Setiap sumbangan anda, tidak kira kecil atau besar, sangat bermakna.
📅 Tarikh: 24 – 26 Julai 2026
📍 Lokasi: Crystal Crown Hotel, Kuala Lumpur
📲 Imbas kod QR pada poster untuk menderma sekarang
💡 Sumbangan layak menerima resit pengecualian cukai
🙏 Jadilah sebahagian daripada perubahan hari ini.
Kerana mereka tidak meminta simpati… mereka hanya perlukan peluang.
IKUTI KAMI DI INSTAGRAM DAN THREADS UNTUK INFO DAN AKTIVITI SBM YANG MENARIK

KENYATAAN MEDIA PERTUBUHAN ORANG CACAT PENGLIHATAN MALAYSIA (SBM) SEMPENA HARI PEKERJA 2026

KENYATAAN MEDIA
PERTUBUHAN ORANG CACAT PENGLIHATAN MALAYSIA (SBM)
SEMPENA HARI PEKERJA 2026
Sempena Hari Pekerja 2026, Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia (SBM) ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada OKU penglihatan yang telah berkhidmat dengan cemerlang dalam sektor awam dan swasta. Dedikasi, profesionalisme dan ketabahan anda telah menyumbang secara signifikan kepada pembangunan negara. SBM dengan bangganya mengiktiraf usaha gigih anda serta merakamkan penghargaan atas prestasi yang membanggakan. Kami berharap anda akan terus melakar kejayaan yang lebih gemilang pada masa hadapan.
SBM juga ingin merakamkan penghargaan kepada para majikan yang telah membuka peluang pekerjaan kepada golongan OKU penglihatan. Sikap terbuka dan kepercayaan anda telah memberi ruang kepada mereka untuk berkembang serta mewujudkan persekitaran kerja yang lebih inklusif. Kami menggalakkan lebih ramai majikan merentasi semua sektor dan negeri untuk tampil menawarkan peluang pekerjaan kepada komuniti ini. SBM ingin menegaskan bahawa ramai dalam kalangan mereka kini berpendidikan, berkemahiran tinggi serta memiliki kemahiran digital yang relevan dengan keperluan semasa.
Pada masa yang sama, SBM menyeru Kerajaan untuk terus memperkukuh usaha dalam menyokong amalan pekerjaan inklusif. Antara cadangan kami adalah seperti berikut:
1. Subsidi Teknologi Sokongan
Menyediakan subsidi sebanyak 50% bagi teknologi sokongan yang digunakan oleh pekerja OKU penglihatan bagi mengurangkan kos kepada majikan serta meningkatkan kebolehcapaian di tempat kerja.
2. Latihan Kemahiran dan Digital yang Inklusif
Memperluas akses kepada pendidikan, latihan vokasional serta program peningkatan kemahiran digital yang inklusif bagi memastikan golongan ini kekal berdaya saing dalam pasaran kerja.
3. Kemudahan Akses dan Sokongan Kehidupan Berdikari
Meningkatkan pelaburan dalam infrastruktur mesra OKU, teknologi sokongan serta perkhidmatan awam termasuk pengangkutan dan akses digital bagi membolehkan mereka hidup secara lebih berdikari dan mengambil bahagian secara aktif dalam masyarakat.
Golongan OKU penglihatan tidak memerlukan simpati, mereka memerlukan peluang. Dengan sokongan serta pendekatan inklusif yang tepat, mereka mampu menyumbang secara optimum kepada masyarakat dan negara.
Sempena sambutan Hari Pekerja ini, marilah kita bersama-sama memperkukuh komitmen untuk membina masyarakat yang inklusif dan adil. SBM akan terus memainkan peranan dalam memperjuangkan peluang yang sama rata, memperkasa komuniti OKU penglihatan serta bekerjasama dengan semua pihak demi Malaysia yang lebih inklusif dan sejahtera untuk semua.
Yang benar,
MOHD MUSTAZA BIN MOHAMAD ZIN
Presiden,
Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia
(Society of the Blind in Malaysia)
Dan,
DR. WONG HUEY SIEW
Pengerusi Jawatankuasa Utama Pembangunan Ekonomi
Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia (SBM)
(Society of the Blind in Malaysia)

Seminar Mobiliti Inklusif anjuran MAXIM dan SBM

📢 Seminar Mobiliti Inklusif anjuran MAXIM dan SBM
Pada 17 April 2026 (Jumaat), jam 3.00 petang, telah berlangsung Seminar Mobiliti Inklusif bertempat di Dewan Serbaguna SBM. Program ini dipengerusikan oleh Encik Muhammad Akmal, Eksekutif Perhubungan Awam SBM.
Seminar ini turut dihadiri oleh Dr. Ahmad Shamsuri (Timbalan Presiden SBM), Encik Hazwan (Pengarah Maxim E-Hailing Malaysia), Encik Sharif (Ketua Jabatan Lembah Klang Maxim E-Hailing Malaysia) sebagai fasilitator, serta Cik Syifa (Pegawai Perhubungan Awam Maxim).
Kehadiran ahli-ahli SBM sekitar Lembah Klang turut memeriahkan dan menyokong usaha memperkasa mobiliti inklusif.
Pihak SBM ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Maxim atas kerjasama dan komitmen yang diberikan dalam menjayakan seminar ini.
Semoga usaha ini menjadi pemangkin kepada sistem mobiliti yang lebih inklusif dan mesra untuk semua.
IKUTI KAMI DI INSTAGRAM DAN THREADS UNTUK INFO DAN AKTIVITI SBM YANG MENARIK