Monthly Archive 25/02/2025

BySociety of the Blind In Malaysia

KENYATAAN MEDIA BERKAITAN INSIDEN KEMALANGAN INDIVIDU OKU PENGLIHATAN DI STESEN LRT

 

PERTUBUHAN ORANG CACAT PENGLIHATAN MALAYSIA (SBM)

KENYATAAN MEDIA

 

Kuala Lumpur – Baru-baru ini, kita telah digemparkan dengan berita kematian seorang orang kurang upaya (OKU) penglihatan di Stesen LRT Titiwangsa. Kemalangan tersebut merupakan suatu kegusaran yang telah lama dirasai oleh komuniti kurang upaya penglihatan di Malaysia yang kini sudah menjadi realiti ngeri. Insiden melibatkan OKU penglihatan di stesen-stesen perkhidmatan rel bukanlah suatu yang baharu.

 

Sehingga kini, sekurang-kurangnya 20 kemalangan melibatkan OKU penglihatan yang jatuh ke landasan rel, sama ada di stesen Monorail, LRT mahupun KTMB. Langkah penyediaan pintu-pintu skrin platform stesen Monorail dan MRT adalah amat wajar bagi mengelak kejadian sebegini berlaku. Fasiliti mitigasi sedemikian hendaklah menjadi antara ciri inheren pada reka bentuk setiap stesen perkhidmatan rel seluruh Malaysia.

 

Lebih daripada itu, jumlah pintu skrin platform juga hendaklah sejajar dengan jumlah pintu koc penumpang untuk melindungi keselamatan para pengguna kurang upaya penglihatan.

 

Langkah mitigasi risiko keselamatan di stesen-stesen perkhidmatan rel juga tidak boleh bergantung kepada elemen teknologi semata-mata. Pihak Prasarana dan KTMB perlu juga memastikan para petugas kawalan berada di platform untuk memantau serta membantu para pengguna, terutamanya pengguna-pengguna kurang upaya penglihatan. Kekurangan para petugas di lokasi-lokasi strategik, seperti di platform adalah antara faktor insiden kemalangan OKU di stesen perkhidmatan rel berterusan.

 

Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia (SBM) menyambut baik langkah yang diambil oleh Kementerian Pengangkutan bersama pihak Prasarana untuk melaksanakan siasatan terperinci berhubung insiden ini. Langkah-langkah seperti memasang Smart CCTV dan pintu skrin platform yang telah diumumkan oleh Menteri Pengangkutan menerusi Facebook juga adalah langkah-langkah mustahak.

 

SBM juga menyarankan kepada Kementerian Pengangkutan untuk bekerjasama dengan pelbagai pihak berkepentingan bagi melatih para petugas perkhidmatan rel supaya mereka lebih cakna dan proaktif dalam berkomunikasi serta membantu para pengguna kurang upaya. SBM bersedia untuk memberikan khidmat teknikal dalam menyediakan latihan tersebut.

 

SBM juga mengajukan ungkapan takziah dan sokongan moral kepada keluarga mangsa.

 

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi:

MOHD MUSTAZA MOHD ZAIN
PRESIDEN
PERTUBUHAN ORANG CACAT PENGLIHATAN MALAYSIA (SBM)
Tel: +60192110111
Emel: mmmz2020@gmail.com